13.10.08

Ceroboh tanah pusaka

Ceroboh tanah pusaka



MELAKA: Seorang wanita warga emas membuat laporan di Balai Polis Malim di sini, semalam selepas mendakwa tanah pusaka miliknya dan keluarga dicerobohi sebuah syarikat pemaju perumahan di Kampung Gaung Piring, Bertam, dekat sini, sejak beberapa minggu lalu.

Warga emas terbabit yang juga anak jati negeri ini, Noralim @ Nurul Aini Abdul Hadi, 80, yang ditemani empat anaknya membuat laporan itu bagi mengelakkan tanah pusaka seluas kira-kira 2.02 hektar itu terus dicerobohi pemaju berkenaan yang tidak mengendahkan permintaan mereka supaya kerja pembinaan membabitkan tanah itu dihentikan serta-merta tanpa sebarang syarat.

Menurut anak lelakinya, Mohd Amin Zainoorin Mohd Ross, 48, ketika melawat tanah pusaka itu di No 63 Lot 99 Mukim Bertam, Daerah Melaka Tengah, pagi semalam bersama ibu, kakak sulung dan dua adiknya, mereka terkejut kerana pemaju masih meneruskan kerja pembinaan membabitkan tanah mereka.

“Sebenarnya, pada 23 September lalu saya dan ibu serta adik-beradik yang lain mengadakan pertemuan dengan wakil pemaju dan tok sidang di kawasan ini bagi membincangkan pencerobohan tanah pusaka milik kami sekeluarga.

“Dalam pertemuan itu kami sekeluarga membangkitkan mengenai pencerobohan tanah pusaka dan meminta supaya pemaju menghentikan projek membabitkan tanah kami serta-merta. Malangnya, selepas dua minggu kami datang melihat semula tanah terbabit, didapati kerja pembinaan masih dijalankan.

“Saya sekeluarga hanya mengetahui mengenai pencerobohan tanah oleh pemaju terbabit selepas dimaklumkan oleh adik saya yang menetap di kawasan ini. Ini kerana saya dan ibu serta ahli keluarga yang lain bekerja di Kuala Lumpur.

“Jadi kami sekeluarga mengambil keputusan untuk balik melihat tanah pusaka ini selepas cuti hari raya,” katanya ketika ditemui di kawasan tanah pusaka terbabit.

Mohd Amin yang juga seorang peguam, berkata dia sekeluarga amat kesal dan tersinggung dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak pemaju terbabit yang menceroboh tanah pusaka itu sewenang-wenangnya tanpa meminta kebenaran seolah-olah tanah berkenaan tiada pemilik.

“Kami tidak pasti apa muslihat pemaju terbabit, mungkin selepas ini mereka akan cuba mendesak supaya kami menjual saja tanah ini,” katanya.


blog buih

Kenapa mereka harus berbuat demikian? Bukankah sudah termaktub didalam undang2 Malaysia bahawa perkara sebegini adalah merupakan pencerobohan kepada hak2 pemilik tanah?
Pemaju projek nampaknya tidak endah dengan permintaan baik agar ia dihentikan. Kenapa tiada tindakan yang diambil keatas pemaju?

Apa pendapat kamu?

2 comments:

  1. hmm...so polis juga tak mampu utk berbuat ape2 ke?

    ReplyDelete
  2. mungkin polis terpaksa melindungi pemaju dan didalangi pemimpin korup?korupsi membawa bencana dan depresi kepada rakyat marhein..polis tak mampu berbuat apa-apa gamaknya!kesian keluarga itu.

    ReplyDelete