Fadhilat puasa sunat ini amat lah besar. Oleh yang demikian, ada baiknya jika saudara2 para pembaca dapat mengamalkan puasa ini.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, sila baca khutbah itu sendiri:
Tajuk: Kelebihan Puasa Enam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meningkatkan rasa taqwa kita kepada Allah, dengan melakukan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.
Kita baru sahaja meninggalkan bulan Ramadhan. Bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan yang melatih kita untuk menghadapi sebelas bulan yang mendatang. Bulan yang terkandung di dalamnya satu malam yang mempunyai kelebihan seribu bulan.
Namum begitu apakah kesan Ramadhan ke atas diri kita? Adakah ia benar-benar meninggalkan kesan, daripada amalan yang dilakukan selama sebulan itu? Adakah puasa kita benar-benar melatih dan mendisplinkan diri kita? Atau sebulan yang berlalu hanya meninggalkan kesan lapar dan dahaga.
Maka beruntunglah bagi mereka yang telah menjalankan ibadah pada bulan ini dengan penuh keimanan. Sebagaimana sabda Rasulullah saw:
Yang bermaksud : Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan akan diampunkan dosa-dosa yang telah lalu.
Mungkin Ramadhan yang telah lalu benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam kepada sebahagian kita, sehingga menimbulkan perasaan sedih apabila menghadapi perpisahan dengan bulan yang mulia tersebut dan berharap agar bertemu dengannya pada tahun yang akan datang. Kerana kita tidak tahu bagaimana keadaan kita pada masa depan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kini tiba pula giliran bulan Syawal, bulan kegembiraan, bulan kemerdekaan dan satu daripada bulan-bulan haji.
Sedang kita bergembira di dalam bulan Syawal ini, bulan kemenangan bagi mereka yang benar-benar dapat menghadapi Ramadhan dengan tabah, kita tidak seharusnya leka dan lalai dalam menyambut kemeriahan suasana hari raya. Kita tidak sepatutnya menganggap bahawa hanya bulan Ramadhan lah bulan untuk kita beribadah.
Jika pada bulan lalu kita telah berjaya mengawal lidah kita daripada melafazkan perkataan dan perbualan yang tidak sesuai, maka seharusnya kita terus mengawalnya sepanjang hayat. Dan jika mata kita dapat dikawal dari melihat dan menonton pemadangan yang keji, ini bukan bererti, selepas Ramadhan kita bebas untuk kembali mengamalkannya.
Sidang Jemaah sekelian,
Mungkin ada di antara kita yang merasakan bahawa terdapat banyak kekurangan yang dilakukan pada bulan Ramadhan yang lalu. Mungkin ibadah di dalamnya tidak dijalankan dengan sempurna dan mungkin terlepas untuk mendapat kelebihan seribu bulan.
Namun sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pemurah, sering memberikan peluang untuk hamba-hambanya. Maka terpulanglah kepada Manusia untuk merebut peluang ini.
Di dalam bulan ini terdapat beberapa amalan yang boleh kita lakukan sebagai tambahan, kesinambungan daripada amalan kita pada bulan lalu.
Ibadah tambahan yang dimaksudkan ialah puasa enam. Iaitu berpuasa selama enam hari di dalam bulan Syawal. Samada dilakukan secara berterusan atau berselang-seli , selama mana ia dilakukan di dalam bulan Syawal maka ianya diterima.
Puasa enam hari di dalam bulan Syawal mengandungi beberapa kelebihan . Antaranya, sebgaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadis yang berbunyi :
Yang bermaksud : Barangsiapa yang berpuasa sebulan Ramadhan, diikuti dengan enam hari dalam bulan Syawal, Seolah-olah dia berpuasa selama setahun.
Maksudnya barang siapa yang telah berjaya mejalankan ibadah puasa pada bulan tersebut selama sebulan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal maka dia akan dikurniakan pahala seperti orang yang berpuasa selama setahun.
Jika diperhatikan dari hadis tadi, bolehlah kita mengambil kesimpulan bahawa perkara ini bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-An'aam Ayat 160, yang berbunyi :
Yang bermaksud : Barangsiapa yang membawa amal yang baik maka bagi (pahala) sepuluh kali ganda. Dan barang siapa yang membuat perbuatan yang jahat maka dia tidak diberi pembalasan kecuali yang seimbang dengan kejahatannya. Sedang mereka sedikit pun tidak di aniaya (dirugikan).
Daripada ayat yang dibacakan tadi dapatlah kita fahami bahawa puasa kita di dalam bulan Ramadhan yang lalu selama 30 hari menyamai puasa 10 bulan. Sementara 6 hari pada bulan Syawal pula menyamai dua bulan. Maka genaplah 12 bulan atau pahala seolah-olah setahun berpuasa. Ini diterang di dalam sebuah hadis yang berbunyi :
Yang bermaksud : Allah menjadikan (pahala) setiap kebajikan dengan sepuluh kali ganda pahalanya. Maka sebulan menyamai sepuluh bulan dan enam hari selepas Raya mengenapkan setahun.
Sidang hadirin yang dirahmati Allah,
Inilah kelebihan yang Allah menawarkan kepada kita untuk kita rebut. Bagi mereka yang mungkin terlepas kelebihan-kelebihan bulan-bulan sebelumnya maka inilah peluang sekali lagi yang tidak sepatutnya dilepaskan.
Puasa enam ini juga ibarat solat Rawatib yang melengkapkan dan menampal kekurangan-kekurangan solat. Maka tentunya terdapat kekurangan yang kita lakukan semasa kita melakukan Ibadah puasa di dalam Ramadhan yang lalu. Maka inilah peluang untuk kita menampal kekurangan puasa kita.
Marilah sama-sama kita menambahkan lagi amal ibadat kita di dalam sebuah lagi bulan yang mempunyai pengertian yang amat besar kepada umat Islam. Semoga segala amalan kita diberkati dan diterima oleh Allah swt.
Baarakallah..........
Diharap semoga dengan ini kita dapat sama2 beramal. Selain dari itu moga2 dengan mengamalkan amalan berpuasa ini, dapat kita mengatasi berbagai masalah kesihatan yang sering kita dengar disekeliling kita.
No comments:
Post a Comment